Tuesday, September 13, 2011

Restoran guna sos ada DNA babi


SALAH sebuah restoran makanan yang disamak oleh JHEAINS selepas
didapati menggunakan sos yang mengandungi DNA babi di Seremban.
SEREMBAN – Sebanyak 15 premis makanan termasuk restoran makanan segera popular dan berstatus halal di negeri ini serta beberapa negeri lain dikesan menggunakan sos serta beberapa bahan yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Perkara tersebut terbongkar selepas pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan pada bulan lalu.

Hasil pemeriksaan tersebut mendapati, premis terbabit masih menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce yang disahkan mengandungi DNA babi oleh Jakim.

PRODUK sos HP dan Tabasco Pepper yang didapati mengandungi DNA babi

Seorang jurucakap JHEAINS berkata, susulan itu semua premis makanan tersebut termasuk semua peralatan yang digunakan premis berkenaan terpaksa menjalani proses samak.

Katanya, premis berkenaan yang termasuk beberapa buah restoran, kedai kek dan restoran makanan segera telah disamak sebagai syarat untuk mereka memperoleh sijil halal.

“Kita melakukan pemeriksaan di premis-premis berkenaan selepas pihak Jakim mengesahkan bahawa dua sos berkenaan dan satu serbuk penaik jenama Puratos mengandungi DNA babi,” katanya di sini semalam.

Menurut jurucakap itu, ketika pemeriksaan, pemilik premis berkenaan mendakwa mereka tidak tahu bahawa produk yang digunakan oleh mereka mengandungi DNA babi.

No comments:

Post a Comment