Thursday, September 1, 2011

Kesihatan : Mengimbas dalam masa tiga saat

 



DULU, setiap kali mendengar perkataan mesin imbasan tomografi berkomputer (CT), ramai pesakit akan membayangkan kesengsaraan yang perlu dilalui untuk membuat imbasan.

Dos ubat yang digunakan dan tahap radiasi yang didedahkan menambah kerisauan kepada pesakit, manakala doktor pula amat sukar untuk menentukan diagnosis penyakit dengan imej yang kurang jelas.

Namun, Hospital Tung Shin, Jalan Pudu, Kuala Lumpur dengan kerjasama Philips kini menampilkan mesin imbasan CT generasi baharu kemudahan perubatan termoden dan yang pertama dipasang di Asia Tenggara.

Mesin yang dipanggil Philips Ingenuity CT menjanjikan keselesaan yang baik kepada pesakit dari segi dos yang diberikan dan tahap radiasi yang sentiasa menjadi suatu kegusaran kepada orang ramai.

Ia bertepatan dengan matlamat Hospital Tung Shin untuk memastikan kebajikan setiap pesakit terjamin. Menurut Presidennya, Ng Beh Tong, pemasangan mesin inovatif itu akan menukar gaya kerja lama yang konvensional kepada sesuatu yang moden dan pantas.

"Kemajuan ini akan meningkatkan ketepatan diagnosis penyakit, mencepatkan aliran kerja dan yang paling penting keselesaan pesakit terjamin," kata Beh Tong pada majlis pengenalan kepada pihak media baru-baru ini.



DR. RANJIT mengenalpasti penyakit pesakit berdasarkan penjanaan imej hasil proses imbasan.


Kepentingan mesin imbasan CT dalam bidang perubatan sangat penting terutama untuk mengesan gejala-gejala penyakit berkaitan yang berlaku dalam badan.

Doktor akan menentukan jenis penyakit, tahap kritikal dan perancangan rawatan melalui penjanaan imej yang terhasil daripada imbasan.

Teknologi

Philips Ingenuity CT mempunyai beberapa ciri yang berbeza dengan mesin imbasan CT yang lain. Pengurus Besar Bahagian Kesihatan Philips Asia Tenggara, Vincent Chan berkata, ciri-ciri utamanya adalah iDose4, RapidView IR, MRC Ice dan SyncRight.

Katanya, dengan iDose4, dos yang digunakan kepada pesakit dapat dikurangkan tanpa menjejaskan kualiti diagnosis penyakit.

"Doktor pula dapat menentukan dan menyesuaikan dos dengan imej yang dikehendaki selain ia amat berguna kepada pesakit yang memerlukan imbasan berulang-kali untuk pemeriksaan susulan," ujar Vincent ketika ditemui di majlis yang sama.

Melalui penggunaan mesin CT generasi baharu itu, dos yang disifatkan sebagai ada radiasi mampu dikurangkan sehingga 80 peratus tanpa menjejaskan kualiti imej imbasan.

Ia juga mampu menambah baik resolusi ruang (spatial resolution) sehingga 35 peratus dan pada masa yang sama penggunaan dos 50 peratus lebih rendah.

Tambah Vincent, teknologi RapidView IR menjamin imej yang dijana dan akan terbentuk hanya dalam tempoh masa beberapa saat iaitu pada kadar 33 imej sesaat.

"Imej lengkap yang terhasil boleh disemak oleh doktor sejurus selepas pesakit diimbas," katanya lagi.



BARISAN pakar perubatan Hospital Tung Shin yang terdiri daripada Dr. Ranjit (dua dari kiri) dan Ng Beh Tong (empat dari kiri) bergambar dengan Vincent (lima dari kiri) pada majlis pengenalan mesin pengimbas Philips Ingenuity CT baru-baru ini.


Jika menggunakan produser standard pembinaan semula, sebanyak 86 peratus imej akan siap dalam tempoh masa 60 saat atau kurang.

Selain itu, Philips Ingenuity CT turut dilengkapi dengan teknologi MRC Ice yang membolehkan mesin itu beroperasi 24 jam sehari dengan hasil yang konsisten.

Ia berfungsi secara unik kerana terdapat alur berlubang pada tiub imbasan supaya ia dapat disejukkan secara berterusan dan kitar hayat dapat ditingkatkan.

Tiub tersebut juga tidak perlu dipanaskan apabila mahu digunakan dan disebabkan perkara itu, ia sesuai digunakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Secara kuantitatif, mesin imbasan CT itu boleh menjimatkan masa sehingga lima minit dalam setiap imbasan dan mengimbas 25 peratus lebih ramai pesakit dalam sehari.

SyncRight pula adalah teknologi yang mampu mengintegrasi penyuntik dan pengimbas supaya boleh diselaras kedua-dua sistem tersebut pada peringkat permulaan.

Sistem yang pertama memberi komunikasi dua hala itu mampu mengurangkan kesalahan dan meningkatkan kecekapan kerana data hanya perlu dimasukkan sekali.

Pengalaman pakar



PETUGAS makmal memerhatikan imej imbasan pesakit.


Pakar Radiologi Tung Shin, Dr. Ranjit Kaur yang baru sahaja menggunakan mesin imbasan CT itu turut berada pada majlis yang sama untuk berkongsi pengalaman menggunakannya.

Walaupun masih lagi belum cukup setahun menggunakan teknologi terbaharu itu, dia mula dapat mengesan beberapa kebaikan selepas melihat sendiri secara drastik perubahan kepada gaya bekerja.

Sebagai contoh, menurut Ranjit, sebelum ini, bagi membuat imbasan di kepala bagi melihat anatomi otak dan aliran darah atau pendarahan, doktor akan menggunakan gema pengimejan magnetik (MRI).

Katanya, ia memakan masa selama 30 minit untuk melihat imej imbasan tetapi, dengan mesin imbasan CT oleh Philips itu, ia mampu dihasilkan dalam tempoh beberapa saat sahaja.

Rahsianya terletak pada lapisan imbasan sebanyak 128 keratan. Dalam masa tiga saat, semua keratan telah pun diimbas berbanding dahulu iaitu selama 10 minit untuk satu keratan.

Bagi masalah melibatkan dada pula, Ranjit menyatakan ia memerlukan banyak masa sebelum betul-betul boleh didiagnosis.

"Doktor perlu meminta semua sejarah penyakit pesakit terlebih dahulu dan akan mengarahkan pesakit memakan antibiotik. Selepas dua minggu, baru pesakit boleh diperiksa melalui teknik imbasan.

"Tetapi dengan mesin imbas CT, kami boleh terus mengimbas dan mengetahui sama ada imej asing yang terhasil itu padu atau tidak," ujar Ranjit lagi.

Philips Ingenuity CT juga membantu para doktor dengan penggunaan warna yang berbeza. Kata Ranjit, ia amat berguna untuk mengesan penyakit yang melibatkan organ hati.

Jika dengan mesin imbas CT lama, warna yang terhasil kelihatan sama, cuma ton warna yang berbeza bagi menunjukkan hati dan saluran darah.

Kini, dengan mesin imbas yang boleh mengimbas sebanyak 128 keratan itu memberikan pelbagai warna yang berbeza untuk bahagian yang berlainan.

Malah, ia juga mampu menunjukkan bahagian hati yang perlu dibuang dengan menggunakan warna yang berlainan.

Kemudahan yang paling memanfaatkan para doktor seperti Ranjit adalah rekonstruksi tiga dimensi yang boleh menghilangkan imej bahagian badan manusia mengikut keperluan.

Katanya, amat sukar untuk menentukan penyakit seseorang sama ada pada salur darah atau otot. Tetapi dengan satu butang, imej saluran darah atau otot boleh dihilangkan sehingga tinggal imej tulang.

Ranjit juga menambah, imbasan CT sebanyak 128 keratan itu membolehkan doktor memilih keratan yang dikehendaki tidak kira menegak atau melintang pada semua bahagian badan.

Mesin yang telah pun dipasang di Korea Selatan itu telah menunjukkan peningkatan dan kecekapan yang tinggi di situ. Pesakit tidak perlu menunggu lama serta penyakit dapat didiagnosis dalam tempoh singkat.

No comments:

Post a Comment