Wednesday, August 10, 2011

‘Gajah putih’ pasar borong : Kerana Peniaga yang malas menjaga kebersihan

p/s 1 : berlaku kerana peniaga yang malas;

p/s 2 : contohi peniaga yang rajin dan betul seperti di bawah

KUALA LUMPUR: Tiga buah mesin Spiral Waste Bin (SWB) yang terletak di Pasar Borong Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu kini ibarat ‘gajah putih’ apabila ia tidak mendapat sambutan sebahagian besar peniaga sayur di sana.

Tinjauan Harian Metro di pasar berkenaan, semalam mendapati rumah sampah berkenaan menjadi tempat lepak beberapa warga asing dipercayai bekerja di pasar berkenaan. Malah ada juga yang tidur di bahagian bawah mesin SWB untuk melepaskan lelah.

Salah seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Cheng berkata, tong sampah yang disediakan terlalu kecil berbanding tong di rumah sampah biasa yang besar dan memudahkan mereka membuang sampah di dalamnya.

“Selain kedudukannya yang jauh, keadaan tong sampah yang kecil juga menyukarkan kami memunggah sayur-sayuran yang banyak. “Kerja menjadi lambat kerana kami terpaksa membuang sedikit demi sedikit sayur bagi memastikan ia masuk ke dalam tong dan bukannya jatuh ke lantai.

“Berbanding di rumah sampah biasa, kami hanya perlu membuang sayur terus ke dalam tong sampah yang besar. Ia lebih mudah dan menjimatkan masa kami,” katanya.

Difahamkan, SWB yang menelan kos hingga jutaan ringgit itu bertujuan untuk menguruskan sayur terbuang secara efektif kerana ia berfungsi menghancurkan terlebih dulu sayur yang tidak digunakan lagi sebelum dikeluarkan dan diangkut menggunakan lori untuk dibuang di tapak pelupusan sampah.

Bagi seorang lagi peniaga sayur yang berada berhampiran dengan rumah sampah SWB, Ann, 35, setiap hari dia membuang sayur yang tidak digunakan di SWB.

“Tidaklah susah sangat membuang sampah di sana (SWB). Ia mudah dan tidak ada bezanya jika saya membuang sayur di tempat biasa (rumah sampah biasa). “Mungkin saya perlu memasukkan sedikit demi sedikit sayur terbuang itu berbanding di rumah sampah biasa, namun ia tidak mendatangkan masalah kepada saya. Lagipun jika membuangnya di sini, keadaan lebih bersih dan tidak berbau kerana ia bertutup.

“Mungkin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menguatkuasakan perkara ini seperti mewajibkan semua sayur yang tidak digunakan lagi dibuang ke SWB bagi memastikan ia berfungsi dan dapat menguruskan pembuangan sisa sayur dengan lebih baik lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment