Wednesday, June 22, 2011

Wabak demam skarlet menular di Hong Kong

HONG KONG - Hong Kong mengisytiharkan penularan wabak demam skarlet selepas sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak terkorban manakala ribuan yang lain di bandar ini dan tempat-tempat lain di China turut dijangkiti penyakit itu.

Seorang budak perempuan berumur tujuh tahun di sini meninggal dunia akibat penyakit itu hujung bulan lalu manakala seorang budak lelaki berusia lima tahun juga di bandar ini mati semalam dalam kes yang disifatkan oleh pihak berkuasa kesihatan sebagai kemungkinan besar jangkitan demam skarlet.

Pihak berkuasa Hong Kong merekodkan 40 kes baru demam itu sejak beberapa hari lalu dengan jumlah jangkitan keseluruhan meningkat kepada 459 orang setakat ini.

Jumlah tersebut adalah yang jumlah terbesar di bandar ini dengan angka tersebut adalah tiga kali ganda lebih besar berbanding jangkitan sepanjang tahun lalu.

"Kita berdepan dengan wabak kerana bakteria yang menyebabkan demam skarlet itu tersebar luas di rantau ini, bukan sahaja di Hong Kong tetapi ia berlaku di tanah besar China dan Macau," kata Ketua Pusat Perlindungan Kesihatan Hong Kong, Thomas Tsang.

Menurutnya, lebih 9,000 orang dijangkiti demam skarlet setakat ini di China tetapi beliau tidak menyebut sama ada terdapat kematian akibat wabak itu.

Demam skarlet lazimnya menyerang kanak-kanak berusia di antara satu tahun hingga lapan tahun.

Tanda-tanda penyakit itu termasuk demam, sakit kerongkong, ruam dan lidah berwarna merah seperti buah strawberi.

Demam skarlet biasanya sembuh dalam tempoh 48 jam selepas diberikan rawatan antibiotik yang bersesuaian. - AFP

No comments:

Post a Comment