PUSARAN angin puting beliung yang melanda Teluk Buih, Air Papan, Mersing, semalam sempat dirakam pembaca setia Berita Minggu |
Bahaya! |
SEBUAH bot nelayan tersadai di jeti kerana diterbangkan puting beliung di pangkalan Teluk Buih, Mersing, semalam.Angin kencang selama 10 minit turut rosakkan khemah peniaga |
MERSING: “Saya hanya mampu berdoa agar puting beliung itu tidak menghala ke arah kami yang sedang berniaga kerana ngeri mengenangkan ribut memusnahkan Bazar Ramadan Melaka tahun lalu yang mengorbankan beberapa mangsa. "Doa kami dimakbulkan apabila puting beliung itu menghala ke arah Teluk Buih, tetapi tempiasnya saja sudah cukup untuk merosakkan beberapa gerai di sini,” kata Rosli Derani, 42, peniaga pasar lambak Jalan Makam, di sini.
Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin itu, dia yang berniaga sup tulang dapat melihat dengan jelas pusaran angin bergerak menghala ke Teluk Buih sambil tempiasnya terasa sehingga ke kawasan perniagaan itu.
Walaupun puting beliung yang dilihat bermula dari Pulau Setindan berhampiran Pantai Teluk Buih itu tidak menghala ke pasar lambak, tempiasnya sudah cukup menyebabkan hampir 10 khemah peniaga rosak bersama puluhan bot gentian kaca milik nelayan yang diterbangkan angin.
Kejadian berterusan kira-kira 10 minit itu adalah yang kedua dalam tempoh seminggu di daerah ini dan menggemparkan penduduk sekitar Kampung Air Papan dan Teluk Buih. Walaupun tiada kemalangan jiwa, sekurang-kurangnya empat bot nelayan musnah dan bumbung jeti pangkalan Teluk Buih diterbangkan angin kencang.
Pengunjung dari Kluang, Muslim Abdullah, 46, berkata ketika kejadian beliau yang berada di atas jeti sempat menyelamatkan diri dengan berlindung di kawasan selamat manakala orang ramai di sekitar pantai bertempiaran lari mencari perlindungan dalam keadaan bot gentian kaca berterbangan dibawa angin kencang.
“Bot yang berat itu mampu diterbangkan angin bagaikan kertas yang melayang sebelum jatuh menghempap jeti. Syukur saya dan anak terselamat... kalau terperangkap dalam pusaran angin itu, sukar untuk digambarkan nasib kami," katanya.
No comments:
Post a Comment