Bila mereka patut bersyukur:
p/s : Penyelia dan Petugas PDK juga patut bersyukur, mereka diberi peluang bekerja di PDK sekaligus menerima rezeki dariNya.
ASSALAMUALAIKUM! Ada ahli rombongan yang menitis air mata melihat kedaifan dua lelaki tua yang hidup sebatang kara, menumpang ruang untuk berteduh sambil mengisi sisa masa yang tinggal.
Abu Bakar Kotel dari Kampung Pok, Gelang Patah bergelapan hampir saban malam kerana putus duit untuk membeli lilin, jauh sekali bekalan elektrik. Kebetulan rombongan anjuran Jamu Mak Dara Sdn Bhd yang disertai rakan artis seperti Alyah, Nadia Aqilah, Amran Ismail, Gambit Saifullah, Keifli Af3, Chocolate dan Azma Yusof tiba di rumah Pak Abu Bakar selepas Maghrib terpaksa bertemankan cahaya lampu jurukamera Diva RTM.
Petang sebelum itu, mereka termasuk saya ke rumah seorang lagi warga emas, Chai Chong Fook yang membina pondok kecil atas tanah jiran. Daif dan simpati, antara perkataan awal yang terlintas tatkala melangkah ke pondoknya. Sekurang-kurangnya kehadiran pihak korporat seperti Bank Islam, Beras Faiza dan Adabi, meringan sedikit beban di bahu mereka.
Tidak hanya itu, kerana esoknya saya dibawa ke Rumah Seri Kenangan Johor Bahru yang menghimpun warga emas, pengemis dan mereka yang bermasalah. Cukup mengharu dan menginsafkan kerana masih ada yang lebih ‘memerlukan’ perhatian.
Sering kita merungut ketidakpuasan hati waima perkara kecil seperti tercicir daripada senarai jemputan ke majlis glamor, tiada penaja busana untuk diperagakan, tidak pernah disebut nombor satu, berulang kali putus cinta dan seangkatannya.
Hati meronta geram kerana tidak kesampaian apa yang yang diinginkan. Walhal itu semua ujian daripada-Nya untuk melihat sejauh mana kita mengingati Dia yang mencipta kita. Seolah-olah tidak pernah bersyukur dengan apa yang diberikan selama ini.
Cuba lihat dua insan daif yang saya cuba ketengahkan di sini, yang menerima seadanya kehidupan. Memang sedih, apatah lagi yang menanggungnya tetapi mereka masih ada senyum untuk disedekahkan.
Mereka antara contoh ‘kekurangan’ yang diberikan Allah tetapi kita tidak nampak hikmah di sebalik ‘kesakitan’ itu. Kekurangan ini untuk kita sendiri melihat dan menghayati apa yang cuba dibentangkan Maha Pencipta kepada makhluk-Nya.
Namun ini bukanlah kita harus berpuas hati dengan beras secupak sehingga menolak gantang. Cuma cara dan laluannya seharus lebih bermaruah dan halal di sisi agama. Semoga hati tidak digelapkan untuk melihat kebesaran-Nya.
Terus-terang, saya sebenarnya kehilangan kata-kata untuk menjelaskan lebih terperinci mengenai perasaan yang berbaur simpati dan keinsafan terhadap lawatan dua hari itu. Apatah lagi ketika berbual dengan seorang nenek, Aishah namanya, mata tiba-tiba gatal melihat mata wanita itu berkaca dengan air mata.
Hanya Allah yang tahu kecamuk perasaan, tertanya diri sendiri mengapa ada yang sanggup meninggalkan ibu bapa mereka di situ. Kadang-kadang terlintas jawapan sendiri, mungkin itu yang terbaik untuk mereka kerana masih ada yang menjaga mereka. Apatah lagi yang dilalui Abu Bakar yang berkongsi pinggan nasi dengan kucing yang setia menemaninya.
Banyaknya cerita hidup ini! Semoga sama-sama kita pelajari untuk sentiasa bersyukur dengan apa saja pemberian dan dugaan-Nya. Wassalam!
No comments:
Post a Comment