Sunday, June 19, 2011

Allah melarang wanita memakai gelang berloceng & Etika memakai tudung

APAKAH hukum memakai gelang kaki dalam kalangan wanita Islam?

JAWAPAN:

Apabila seseorang wanita itu menjaga auratnya di hadapan bukan mahram, ia bukan sahaja menjaga maruah dirinya, malah menjaga wanita mukmin seluruhnya. Maruah dan harga diri wanita begitu tinggi dan bernilai.

Wanita Islam wajib menjaga auratnya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak mereka atau anak tiri mereka atau saudara mereka, anak saudara lelaki mereka, anak saudara perempuan mereka, sesama perempuan Islam atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada wanita atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah kamu menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.”

(Surah An-Nur :Ayat 31)

Menutup aurat bukan sekadar memakai tudung semata-mata, tetapi ia merangkumi aspek keseluruhan tubuh seseorang wanita. Haram bagi seseorang wanita mendedahkan aurat kepada lelaki yang bukan mahramnya seperti yang dijelaskan oleh ayat di atas. Perlu dijelaskan kerana kegagalan menjaga aurat menyebabkan ramai wanita dicampakkan ke dalam neraka.

Ini dijelaskan dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Perempuan-perempuan yang memakai pakaian, tetapi masih seperti telanjang (mendedahkan aurat) sehingga memalingkan lelaki ajnabi ke atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun.” (Riwayat Muslim)

Etika pemakaian menutup aurat yang sempurna adalah pakaian mestilah longgar, tidak ketat, tidak jarang, tidak nipis, tidak memakai wangian yang melampau dan tidak menyerupai pakaian orang kafir. Cara berpakaian yang amat membimbangkan kini apabila ramai kaum wanita Islam memakai tudung di kepala, tetapi berpakaian ketat dan nipis sehingga menampakkan bentuk tubuh.

Islam melarang wanita mukmin memakai gelang berloceng kerana ia akan mengeluarkan bunyian ketika bergerak. Ini boleh mendatangkan fitnah dan menarik perhatian orang lain seterusnya boleh mewujudkan pergaulan bebas yang dilarang dalam Islam seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas.

No comments:

Post a Comment