Thursday, May 19, 2011

Pemanah paralimpik cemerlang

ATLET memanah paralimpik negara meneruskan kecemerlangan di peringkat antarabangsa apabila empat pemanah elit melakar kejayaan pada Kejohanan Memanah Piala Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) yang menutup tirainya di Bangkok, Thailand semalam.

Pada kejohanan sembilan hari itu, pemanah elit paralimpik negara berjaya merangkul dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

"Kejayaan pada kejohanan ini menjadi kayu pengukur untuk menilai keupayaan skuad kebangsaan sebelum beraksi pada Kejohanan Dunia di Itali, Julai depan.

Kejohanan Dunia juga adalah medan kelayakan ke Sukan Paralimpik London," kata ketua jurulatih, Amirullah Ahmad.

Pingat emas Malaysia diperoleh melalui pemanah No. 1 dunia, Mohammad Salam Sidik yang menewaskan Jung Young-joo dari Korea Selatan 6-2 pada set penentuan acara individu lelaki ARW2.

Mohammad Salam yang bergandingan dengan Hasihin Sanawi dan Mohd. Zafi Rahman menewaskan trio dari Thailand, 203-192 dalam acara berpasukan lelaki ARW2 untuk menyumbang pingat emas kedua buat Malaysia.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok itu turut menyaksikan pemanah wanita, Nor Saadah Abdul Wahab dinafikan peluang meraih pingat emas oleh Elisabetta Minjo dari Itali, 6-0 dalam acara individu wanita ARW2.

Gangsa pula diraih dalam acara beregu campuran melalui Mohammad Salam dan Nor Saadah.

No comments:

Post a Comment