Sunday, April 24, 2011

Menjejaki warisan Melayu


MENYELUSURI catatan sejarah lama, nama Srivijaya memang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam alam Melayu.

Kehebatannya menakluk kerajaan-kerajaan lain sehingga membentuk sebuah empayar Melayu yang pertama di Gugusan Kepulauan Melayu antara kurun kelapan hingga ke-11 membuktikan ia kerajaan yang sangat hebat ketika itu.

Itu kisah dunia Melayu lama. Kisah yang menjadi pencetus inspirasi kepada sekumpulan anak Melayu tempatan yang bersatu merentas tujuh negara untuk menjejak warisan bangsa yang masih bertapak di tinggalan empayar Srivijaya.

Begerak di bawah payung Majma’ Warisan dan Budaya Jawi, program Jejak Warisan Jawi, (JWJ) mempunyai matlamat untuk mengesan dan merungkai salasilah warisan budaya kelompok Melayu di tujuh negara serantau bakal dicapai tidak lama lagi.

“Ekspedisi ini memang sukar, namun ia bukan mustahil untuk dijayakan.

“Kita pernah melakukannya sebelum ini dan kali ini kami yakin, kami akan berjaya,” ujar salah seorang anggota ekspedisi JWJ, Zaid Mohammad Mohd. Rais, 37.

Bakal ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar pada 28 Mei hingga 13 Jun ini, JWJ kini giat merapikan segala kelengkapan demi memastikan kembara merentas warisan yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda itu berjalan lancar.

Miskin

Berkongsi pengalaman tentang ekspedisi sebelum ini, Zaid mengakui beliau tidak meragui kehebatan dunia Melayu pada zaman silam.

“Pengaruh kerajaan Melayu lama sangat kuat dan sehingga kini budaya dan adat resam yang menjadi warisan bangsa masih lagi diamalkan, walaupun mereka tidak lagi diperintah oleh kerajaan Melayu,” katanya yang mengembara ke pantai Thailand untuk mengesan jejak masyarakat Melayu bersama rakan-rakannya tahun lalu.

Pertemuannya dengan beberapa kelompok orang Melayu memberikan Zaid pandangan yang sama tentang kelangsungan budaya di bumi asing.

“Mereka berpakaian sama seperti kita. Makan minum juga tidak banyak bezanya.

“Hidup dalam keadaan serba sederhana dan miskin, mereka banyak bergantung kepada kegiatan pertanian seperti getah dan padi. Selain itu, sektor agro pelancongan juga menjadi mata pencarian mereka.

JEJAK Warisan Jawi mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk
meneruskan ekspedisi menjejaki komuniti Melayu di bumi asing.
“Sayangnya, segelintir sahaja yang masih boleh bercakap dan memahami bahasa Melayu, itu pun dalam kalangan yang sudah berusia,” katanya.

Tidak pergi dengan tangan kosong, Zaid dan 30 lagi rakannya turut membawa pengisian budaya dan agama dengan harapan masyarakat Melayu yang ditemuinya berpeluang mengenali warisan bangsa.

Kompang

“Anggota JWJ menjadi orang serba boleh dalam ekspedisi ini.

“Kami memandu dan menjejaki penempatan mereka secara bergilir-gilir. Tiba di sana, kami akan disambut dan kami turut memberi sambutan balas.

“Kami akan bersilat, berkompang, berzanji, bernazam, menganjurkan bengkel agama selain menghulurkan sedikit sumbangan buat mereka,” katanya yang berkesempatan menemui waris dan keluarga wanita legenda Langkawi iaitu Mahsuri ketika melawat Patong yang juga dikenali sebagai Pantai Kemala.

Pertemuan kumpulannya dengan seorang lelaki berusia 80 tahun di Klong Muang, Krabi, menitipkan rasa insaf dalam jiwa lelakinya.

“Ketika kami berkompang dan berzanji, seorang lelaki tua datang kepada kami sambil mengesat air matanya.

“Menurut ceritanya, dia berasal dari Kedah. Apabila melihat kami membuat persembahan, ia mengingatkannya kepada kenangan sewaktu membesar di Kedah.

“Katanya, sejak berpindah ke Klong Muang, itulah kali pertama dia melihat orang bermain kompang,” katanya yang sempat bermalam di rumah orang Melayu di sana.

Kitab lama

Pengembaraan JWJ yang bermula di Danok, Satun, Krabi, Pantai Kemala hingga ke Bangkok dan Ayutthaya menemukan mereka dengan pelbagai warisan Melayu yang bumi Gajah Putih itu.


BUDAYA Melayu seperti berkompang antara yang diterapkan setiap kali
ekspedisi JWJ berhenti di penempatan komuniti Melayu.
“Di Bangkok, ada Masjid Darul Aman yang usianya sudah beratus-ratus tahun dan masih jelas pengaruh seni bina Melayu pada rekaannya.

“Sempat juga kami menghadiri kenduri tahlil yang dianjurkan sebuah masjid di situ dan upacara yang dilakukan juga sama dengan yang dilakukan di sini.

“Di Bangkok juga, ada Masjid Kosan yang masih bertahan selepas 200 tahun dibina.

“Perjalanan kami diteruskan ke Ayutthaya, kira-kira 70 kilometer dari Bangkok.

“Di sana ada Masjid Takia yang usianya telah mencecah 500 tahun.

“Di situ juga kami menemui beberapa naskhah al-Quran dan kitab lama tulisan tangan disimpan di dalam sebuah kotak yang diletakkan di belakang mimbarnya.

“Di sekitar Ayutthaya juga terdapat banyak candi yang dipercayai bekas masjid berdasarkan teori pembinaannya yang menghadap kiblat,” cerita Zaid.

Adrenalin untuk menjejaki warisan Melayu tidak pernah terhenti buat anggota ekspedisi JWJ.

Selepas kejayaan siri pertama, program seumpama diatur dengan kolaborasi dua universiti tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam memantapkan lagi pengisian program berteraskan budaya dan warisan agama ini.

Inisiatif JWJ yang turut disertai golongan profesional, usahawan, peniaga dan penuntut universiti ini perlu dipuji kerana ia merupakan satu-satunya program ekspedisi yang menjejak warisan bangsa di bumi asing.

“Kami mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk menjayakan program ini. Ia bukan bersifat peribadi, sebaliknya ia adalah kembara bangsa yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kita semua.

“Kehidupan tanpa pengekalan budaya dan warisan di bumi asing yang ingin kami kongsikan diharapkan sedikit sebanyak mampu menggetarkan rasa insaf dalam diri kita.

“Jika kita tidak mengekalkan agama, budaya dan adat resam warisan kita, tidak mustahil satu hari nanti, ramai yang tidak akan mengenal silat dan kompang.

No comments:

Post a Comment