Saturday, April 2, 2011

Malapetaka 3 serangkai Jepun : NGO Jepun puji usaha Malaysia hulur bantuan kemanusiaan

SENDAI, Jepun: Badan bukan kerajaan (NGO) Jepun memuji langkah Malaysia melalui Kelab Putera 1Malaysia yang turut serta menghulur bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun.

Kelab Putera 1Malaysia bersama-sama Nippon Foundation dan Japanese International Food for the Hungry menyampaikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada penduduk di bandar berhampiran Lautan Pasifik ini.

Pegawai Perhubungan Maklumat Japanese International Food for the Hungry, Timoki Yoshida, berkata usaha murni Malaysia ini perlu diteruskan walaupun terdapat perbezaan budaya dan masalah komunikasi. "Setiap manusia saling memerlukan dan apa yang telah dilakukan pihak kamu sangat kami hargai.

Mangsa bencana pasti terharu dengan pemberian makanan dan usaha ini patut diteruskan melalui kerjasama dan saling bertukar maklumat antara kedua pihak," katanya kepada wakil media Malaysia yang turut menyertai misi bantuan Kelab Putera 1Malaysia.

Sukarelawan Nippon Foundation, Yoshiko Nagao, pula berkata tindakan Malaysia patut disedari masyarakat antarabangsa dan dicontohi badan bantuan kemanusiaan negara lain.

"Bukan mudah untuk kamu datang dari jauh ke sini dan kami terharu tujuan utama kedatangan kamu adalah semata-mata untuk membantu rakyat kami.

"Ini menunjukkan semangat perpaduan dan kerjasama antara dua negara sememangnya wujud dan kami sangat berterima kasih kepada pihak kamu," katanya.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata dengan bantuan itu, pihaknya berharap mangsa bencana dapat memanfaatkan keperluan asas dan bekalan makanan yang disumbangkan.

"Kita sememangnya memerlukan orang tengah yang dapat memberitahu mangsa bencana apa tujuan kita ke sini dan dengan bantuan mereka ini, tugas kita dan amanah rakyat Malaysia dapat disampaikan kepada pihak yang sepatutnya," katanya.

Beliau juga berkata, cabaran dalam berdepan dengan masalah berbeza budaya dan kesukaran berkomunikasi mematangkan setiap sukarelawan kelab tersebut dalam menghadapi misi akan datang.

Kelab Putera 1Malaysia menghantar 50 orang ahli bersama 2,500 tan bahan keperluan asas ke Jepun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment