Monday, April 4, 2011

Lekukan tropika bawa hujan lebat di Sabah

Gambar Satelit Lekukan Tropika yang akan bergerak ke arah tenggara
iaitu kearah Kota Kinabalu.
KUALA LUMPUR – Satu lekukan tropika yang boleh mempengaruhi keadaan cuaca dan laut dikesan berhampiran Kota Kinabalu, Sabah pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata lekukan tropika itu kini berada kira-kira 484km ke barat-barat laut Kudat dan 527 utara-barat laut Miri, Sarawak.

Ia dijangka bergerak ke arah tenggara dengan kelajuan 4km/j.

Sehubungan itu, jabatan itu mengeluarkan nasihat hujan lebat dan ribut petir (peringkat kuning) serta amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori ketiga).

Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat serta berangin dijangka bermula malam ini di bahagian pedalaman (Daerah Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Daerah Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat (Daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas) serta Wilayah Persekutuan Labuan, yang diramal berterusan sehingga Rabu ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dan banjir di kawasan rendah serta berdekatan tebing-tebing sungai, kata kenyataan itu.

Selain itu, angin kencang berkelajuan dari 60km/j dengan ombak mencapai ketinggian 5.5 meter di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-layang dijangka berterusan sehingga Khamis ini.

Ia berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak. - Bernama

1 comment:

  1. oooo...ini kena bagutau si saimi jangan bagi dia booking tiket flight time nih. huhuhuhu

    ReplyDelete