Soalan: APAKAH pandangan Islam mengenai tindakan menghias kubur?
JAWAPAN: Tanah perkuburan adalah kawasan yang mengingatkan kita sebagai manusia bahawa ia akan menjadi tempat persinggahan kita sebelum hari kebangkitan iaitu di Padang Mahsyar. Sewajarnya ia akan mendatangkan keinsafan untuk lebih taat akan perintah Allah dan tunduk akan kekuasaannya.
Membersih dan menghias kawasan kubur diharuskan supaya kelihatan bersih dan kemas. Bagaimanapun, jangan sampai berlebih-lebihan atau bermegah dan mengganggu hak orang lain kerana tanah perkuburan adalah hak orang ramai.
Bimbang kubur yang dihias berlebihan akan menimbulkan riak atau dijadikan tempat pemujaan kepada mereka yang taksub kepada perkara khurafat.
Islam melarang membuat binaan di atas kubur berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
"Rasulullah SAW melarang mewarnakan kubur dengan warna putih, duduk di atas kubur dan membina binaan di atasnya." (Riwayat Muslim)
Cukuplah sekadar ditinggikan tanah dan meletakkan batu nisan sebagai tanda dan menanam padanya dengan pokok-pokok kecil supaya daun-daun berselawat dan mendoakan si mati dan diampunkan dosanya. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohon tunduk kepada-Nya." (Ar-Rahman: 6)
p/s: Larangan di atas hanya untuk Umat Islam sahaja dan untuk perkuburan islam sahaja.
No comments:
Post a Comment