SEPANG: Pengalaman tinggal lima hari di atas bukit bersama bekalan makanan yang terhad meninggalkan kenangan pahit buat keluarga Yeoh Lian Chun, 29, dan tiga ahli keluarganya ketika kejadian gempa yang melanda Jepun, Jumaat lalu.
Ketika kejadian, Lian Chun dari Sungai Petani, Kedah sedang bekerja di sebuah kilang di bandar Sendai sebagai penterjemah, bergegas pulang ke rumah untuk mengambil isteri, Chang Miao, 29, dan dua anaknya, Yeoh Yun Ci, tiga tahun dan Yeoh Hao Han, 11 bulan.
Mereka kemudian ke bukit berhampiran untuk menyelamatkan diri berikutan kerajaan sudah mengeluarkan amaran tsunami kepada penduduk di kawasan itu.
Katanya, sepanjang lima hari itu mereka terpaksa berkongsi makanan yang dibawa dengan beberapa keluarga lain, selain tinggal dalam cuaca sejuk.
“Kerajaan Jepun menghantar bantuan untuk membawa kami ke pusat pemindahan, tetapi kerana trauma dengan kejadian itu kami semua pulang ke Malaysia.
“Kami mengambil masa tiga hari perjalanan untuk ke Tokyo bagi membolehkan kami ke lapangan terbang.
“Saya membelanjakan RM20,000 membeli tiket supaya dapat balik ke Malaysia,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Lian Chun yang tinggal 10 tahun di Jepun mengakui trauma dan berhasrat tinggal di Malaysia dalam tempoh sebulan sebelum membuat keputusan pulang semula ke negara matahari terbit itu.
Katanya, dia tidak tahu apa terjadi pada rumahnya, tetapi dia mendapat tahu kawasan sekitar rumah musnah.
Sementara pembantu penyelidik di Universiti Tohoku, Ellani Mohamad Nawi, 32, berkata, dia terputus hubungan hampir dua jam dengan suami yang sedang menjaga anaknya yang berusia setahun, Eva Akila Nurazali kerana dia sedang bekerja.
Katanya, tempoh itu dirasakan paling lama pernah dirasakan kerana tidak mengetahui keadaan kedua-dua ahli keluarganya.
“Selepas keadaan reda saya kembali ke rumah dan mendapati mereka berdua selamat walaupun ketika kejadian mereka berada di kedai elektrik.
“Suami memaklumkan, mereka sedang membeli barang ketika gempa melanda dan seorang jurujual menyuruh berlindung di bawah meja untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Menurutnya, dia yang sepatutnya menamatkan kontrak kerja 31 Mac ini bersyukur dapat pulang awal sekali gus dapat bersama keluarga di negara ini.
ada seorang kawan blogger juga sudah sampai ke Malaysia dengan selamat. dia laki bini sambung belajar kat sana. ada gak dia cerita pengalaman dia kat sana
ReplyDelete