Monday, March 7, 2011

DBKL lupus tunggakan faedah yuran perkhidmatan Pangsapuri Putra Ria

KUALA LUMPUR - Penduduk Pangsapuri Putra Ria, Bangsar di sini kini boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk melupuskan tunggakan faedah kelewatan yuran perkhidmatan sebanyak RM600,000.

Bagaimanapun, sebelum tunggakan faedah tersebut dilupuskan, penduduk yang mempunyai tunggakan yuran perkhidmatan perlu melunaskan bayaran dalam tempoh 12 bulan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, penduduk yang tiada tunggakan dan melunaskan pembayaran yuran perkhidmatan pada setiap bulan diberikan potongan sebanyak 50 peratus bagi bayaran bulan Disember

"Penduduk yang ingin membayar yuran tersebut bagi tempoh setahun pula tidak perlu membayar yuran bagi bulan Disember tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk kawasan itu di sini semalam.

Beliau turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan jersi kepada pasukan futsal pangsapuri tersebut selain melawat jalan dan kemudahan yang sedang diselenggara.

Kata beliau lagi, jika pelan tersebut berjaya dilaksanakan di pangsapuri itu, tidak mustahil ia juga dapat dilakukan di tempat lain yang mengalami masalah yang sama.

Terdahulu ketika memberikan ucapan kepada penduduk, Raja Nong Chik meminta mereka menjelaskan yuran perkhidmatan bagi membolehkan tempat tinggal mereka diselenggara dengan baik.

"Sebenarnya kos yuran ini adalah yang paling rendah dan atas rasa tanggungjawab terhadap rakyat, DBKL tidak berhasrat untuk naikkan walaupun ia tidak mencukupi untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

"Saya amat berharap dan minta kerjasama semua penduduk pangsapuri yang diuruskan oleh DBKL supaya membayar yuran masing-masing bagi memastikan mereka tidak hidup dalam keadaan yang mundur dan bermasalah," ujarnya.

Ketika ini DBKL mengenakan bayaran sebanyak RM53 sebulan bagi membolehkan kerja penyelenggaraan seperti baik pulih lif, lampu, kemudahan awam dan kerja-kerja kebersihan.

No comments:

Post a Comment