Wednesday, February 23, 2011

Sultan Johor Pandu Tren : Perjalanan lancar

SULTAN Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memandu tren
Ekspres Rakyat dari JB Sentral ke Stesen Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Terkejut dan bangga - itulah perasaan kira-kira 350 penumpang menaiki Tren Ekspres Rakyat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, kelmarin, sejurus menyedari tren itu dipandu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Kelancaran pemanduan baginda dari Johor Bahru (JB) Sentral ke stesen KL Sentral itu langsung tidak diketahui kebanyakan penumpang tren berkenaan sehingga petugas KTMB membuat pengumuman mengenainya di Stesen Seremban pada jam 4 petang. Penumpang, Nurul Husna Kasman, 25, yang menaiki tren dari Stesen Labis ke Stesen KL Sentral, berkata beliau dalam perjalanan pulang ke kampus selepas pulang bercuti di kampungnya di Bukit Kepong, Muar.


Penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu pulang ke kampung bagi membantu keluarganya membersihkan rumah mereka selepas banjir melanda daerah berkenaan surut minggu lalu.


Katanya, beliau sama sekali tidak menyangka tren yang dinaikinya dipandu Sultan Johor sendiri.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu Tuanku memandu tren ini. Sememangnya saya berasa sangat bertuah kerana mempunyai Sultan seperti baginda yang berjiwa rakyat.

“Apabila pulang ke universiti nanti, saya tidak sabar untuk berkongsi peristiwa manis ini dengan rakan-rakan dan menghubungi keluarga,” katanya ketika ditemui dalam tren itu.

Basir Kassim, 63, seorang peneroka dari Kluang turut teruja dan bangga menaiki tren bersama baginda.

“Bukan setakat dapat naik tren dengan Tuanku, malah baginda sendiri memandu tren ini.

“Tentunya sebagai rakyat Johor, ia seperti satu mimpi yang disangka tidak mungkin menjadi kenyataan, namun ia menjadi kenyataan buat saya,” katanya mengakui tidak merasai perbezaan perjalanan tren dipandu baginda berbanding perjalanan tren sebelum ini.

read  more @ berita harian:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Perjalananlancar/Article

No comments:

Post a Comment