Saturday, February 12, 2011

Sudan Selatan : Negara ke-196 di peta dunia


BARANGKALI agak kejam untuk mengklasifikasikan bahawa Republik Sudan adalah negara ketiga yang paling mengerikan untuk dilawati. Sudan juga signifikan dengan perang saudara. Ia juga sinonim dengan kedaifan, kelaparan dan kematian.

Pangkalan utama kumpulan pemberontak dunia juga dipercayai bertapak di sini. Osama Laden dikatakan telah beroperasi selama lima tahun di Sudan. Imej negara ini sangat gelap.

Pelancong juga tidak ada hati untuk singgah. Wartawan agensi antarabangsa kaget apabila dihantar membuat liputan. Bagi tentera beragama Islam, bertugas di bumi Sudan dianggap sebagai satu jihad.

Hampir setengah abad, 48 juta rakyat republik ini menderita. Selepas berjaya keluar daripada cengkaman British dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1956, pergolakan menjadi bertambah rumit.

Sungguh malang apabila sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak mentah menjadi negara yang paling miskin di Afrika.

Setelah lama bergelut, akhirnya Isnin lalu, atas permintaan rakyatnya, Sudan terbahagi kepada dua. Secara rasminya, sebuah negara baru yang dinamakan Sudan Selatan diisytiharkan merdeka sekali gus akan terangkum dalam peta dunia.

Dengan itu, Sudan Selatan akan menjadi negara ke-196 jika kiraan mengambil kira Republik Taiwan yang masih belum mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS).

“Atas nama rakyat (AS), saya mengucapkan selamat kepada rakyat Sudan Selatan kerana referendum yang akhirnya memihak kepada wilayah ini merdeka.

“Saya secara rasminya mengiktiraf Sudan Selatan sebuah negara berdaulat dan merdeka pada Julai 2011,” kata Presiden AS, Barack Obama kepada Reuters.

Referendum atau pungutan suara yang dijalankan pada 9 hingga 15 Januari lalu diadakan kesan daripada Perjanjian Navaisha antara Khartoum (kerajaan Sudan) dengan Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA).

Memetik laporan The Telegraph UK pula, Presiden Sudan, Omar Hasan Ahmad al-Bashir atau Omar al-Bashir berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana itu pilihan rakyat di wilayah itu.

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
read more @ kosmo: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Post a Comment