Wednesday, February 2, 2011

Lumpuh sejak 4 tahun lalu

NORSIAH tidak jemu melawat Mohd Ikhwan
yang terlantar di Wad Pediatrik Hospital Besar Kuala Lumpur.
Ibu tunggal ulang-alik Sungai Buloh-HKL
Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof;
bhnews@bharian.com.my
2011/02/02

KUALA LUMPUR: Empat tahun terlantar di katil hospital adalah satu tempoh yang cukup lama dan memeritkan, lebih-lebih lagi apabila doktor yang merawat juga tidak pasti bila boleh sembuh atau keluar hospital.
 
Namun, itulah yang berlaku pada Ikhwan Zainuddin, 15, yang lumpuh seluruh anggota badan sejak usianya 11 tahun, kecuali hanya boleh mendengar dan menggerakkan matanya. Seperti kanak-kanak normal seusianya, Ikhwan membesar dalam persekitaran yang sihat dan aktif bersukan, terutama bermain bola dan berbasikal.


Namun semuanya berubah tanggal Ogos 2007, selepas Ikhwan pulang daripada bermain bola dan tiba-tiba mengadu demam. Dia kemudian dibawa ke klinik persendirian dan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan Ikhwan hanya mengalami demam biasa dengan suhu badannya ketika itu 36 darjah Celsius.

Keesokan harinya, seperti biasa Ikhwan ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buaya, Rawang dekat sini dan beberapa jam kemudian dia dihantar pulang oleh gurunya kerana demamnya semakin teruk.

Ikhwan kemudian dibawa ibunya, Siti Norsiah Sabudin, 40, ke Hospital Kuala Kubu untuk pemeriksaan lanjut dan ditahan untuk pelbagai ujian susulan. Tujuh botol air dimasukkan ke badannya.

Pada hari berikutnya, Ikhwan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh apabila suhu badannya mencecah hingga 39 darjah celsius.

Bagaimanapun, selepas tiga jam, dia dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana tiada kekosongan katil di Hospital Sungai Buloh.

Di HKL, Ikhwan diberi ubat tidur bagi membolehkannya berehat, tetapi selepas tiga hari dia mula mengalami masalah pernafasan serta tidak berupaya bergerak dan terus lumpuh.

Berikutan itu, doktor terpaksa menebuk lubang di lehernya bagi memasang mesin bantuan pernafasan dan sejak itu dia terlantar di katil hospital berkenaan.

Siti Norsiah yang bekerja sebagai pembantu kedai ketika ditemui HKL, kelmarin, berkata sepanjang terlantar di HKL, pihak hospital mengesyaki anaknya mungkin menghidap penyakit Japanese Encephalitis (JE), tetapi tidak dapat mengesahkannya.

“Ikhwan kini hanya diberi vitamin C untuk tumbesarannya, ubat lawas dan susu sebagai makanan harian. Dia tidak boleh makan makanan pepejal dan hanya meminum susu setiap hari melalui saluran yang disambung ke hidungnya.

“Namun apa yang menimbulkan tanda tanya, tumbesaran dan rupa wajah dia tidak menunjukkan tanda dia menghidap sebarang penyakit kronik,” katanya.

Sejak nasib malang menimpa Ikhwan, rutin harian Norsiah yang juga seorang ibu tunggal turut berubah dan terpaksa membahagikan masa antara kerjanya sebagai pembantu kedai dari jam 9 pagi hingga 6 petang dan menjaga Ikhwan dari jam 7 malam hingga 12 tengah malam.

Beliau kemudian kembali ke rumah untuk menguruskan keperluan dua lagi anaknya, Fatin Suhaila Zainuddin, 14, dan Farish Zainuddin, 12, yang masih bersekolah selain ibunya, Zaiton Bahauddin, 65, yang menghidap penyakit sendi dan tidak boleh bergerak aktif.

“Selepas seharian bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan, saya menaiki bas dari Bandar Baru Sungai Buaya, Rawang menuju ke HKL. Begitulah rutin seharian saya sejak empat tahun lalu sehingga saya sudah lali dan bagi saya apa yang penting setiap hari adalah melihat wajah Ikhwan,” katanya sebak memikirkan masa depan anaknya.

Norsiah berdoa setiap hari mengharapkan kehadirannya di hospital akan memberi semangat kepada anak sulungnya itu di samping yakin satu hari nanti Ikhwan akan pulih sepenuhnya.

Norsiah yang berpisah dengan suaminya tujuh tahun lalu, kini menumpang di rumah ibunya di Rawang.

“Sayalah anak, sayalah ibu dan sayalah bapa ketika ini... saya reda dan semuanya saya anggap sebagai dugaan dan penguat semangat saya untuk terus hidup,” katanya

No comments:

Post a Comment