Thursday, February 3, 2011

Garisan Saf Surau Pusat Sains Kedah menghala ke utara.

Ulasan surat dari saudara Muaz kepada Berita Harian:

p/s: Sebenarnya bukan saudara Muaz sahaja yang pernah terasan perkara seperti ini. Ada beberapa tempat lagi perkara yang sama berlaku, ada antaranya menghadap ke Baitulmaqdis (Israel), ada antaranya menghadap ke Afrika Selatan (kebetulan perkara ini berlaku semasa Piala Dunia Afrika Selatan), ada yang menghadap ke Jepun, Australia dan ada yang mengikut terus sepanjang Garisan Khatulistiwa.

  1. Lebih-lebih lagi jika surau tersebut berada di dalam bangunan yang besar, di basement (underground) tambahan jika berada berhampiran dengan bilik enjin, generator atau ibusawat letrik bangunan tersebut (kompas yang murah akan dipengaruhi oleh medan graviti magnet dari bilik enjin/generator atau ibusawat letrik yang beroperasi-komfom bilik tersebut akan jadi kiblat).
  2. Kita seharusnya membawa sendiri kompas seperti yang dibuat oleh saudara Muaz, kalau tidak pasti saudara Muaz berkiblatkan Khakganakh (satu bandar di Russia Tengah).
  3. Kadang-kadang kontraktor yang membekalkan dan memasang permaidani tu pun mungkin bukan orang Islam, yang meluluskan pun mungkin bukan pandai ugama, jadi kesilapan yang berlaku itu mungkin dilakukan secara sengaja (atau mungkin tidak sengaja).

Surat dari saudara Muaz.

2011/02/03

BARU-BARU ini saya bersama keluarga melawat Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara di Alor Setar, Kedah.

Tidak perlulah saya komen mengenai ‘kecanggihan’ di pusat sains ini kerana umum sedia maklum kedaifannya jika dibandingkan dengan Pusat Sains Negara di ibu negara.

Tiba waktu Zuhur kami sekeluarga ke surau yang disediakan di aras bawah. Dalam surau berkenaan tiada sebarang tanda arah kiblat. Bagaimanapun ada garisan saf pada permaidani surau berkenaan yang seolah-olah menunjukkan ke arah kiblat. Pada mulanya saya tidak berasa cuak dengan arah berkenaan. Bagaimanapun, bayang-bayang dari cahaya matahari yang melewati dalam surau berkenaan menyebabkan saya tergerak hati untuk menyemak arah kiblat dengan menggunakan kompas arah kiblat yang saya jadikan rantai kunci. Alangkah terkejutnya saya kerana arah kiblat yang ditunjukkan oleh garisan saf itu menghala ke utara, bukan ke arah kiblat sebenar.


Saya musykil bagaimana kontraktor yang bertanggungjawab memasang permaidani tidak peka dengan arah kiblat. Sepatutnya di prasarana sebuah agensi kerajaan, lebih-lebih lagi di sebuah pusat sains yang menggambarkan kehebatan sains dan teknologi perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Bayangkan betapa ramainya orang yang solat di surau berkenaan dan tidak mengetahui mereka menghadap arah yang boleh menyebabkan solat mereka ‘tidak sah’ disebabkan kelalaian pihak tertentu.

Saya menyeru supaya setiap surau yang dibina perlu mendapat pengesahan arah kiblat daripada Jabatan Mufti negeri masing-masing supaya masalah kesalahan arah kiblat ini dapat diselesaikan, sekali gus tidak menyusahkan jemaah.

ABU MUAZ,
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment