Sunday, January 23, 2011

Umat Islam ditegah hina agama lain

Pasti! Kita sebagai umat Islam menyayangi agama Islam yang kita anuti, samada dari warisan keluarga atau yang baru menganutinya/muallaf.

Tiap hari kita disogokkan dengan cerita dan berita Islam ditindas diseluruh pelusuk dunia, tak terkecuali kita di Malaysia, sehingga ada orang Islam sendiri cuba menafikan hak orang Islam yang lain dengan pelbagai tohmahan (termasuklah isu kafir-mengkafir) (Hak menentukan siapa yang kafir atau tidak adalah Hak Allah) bagi mereka yang menyedari (sebab ramai yang tahu/mengetahui tetapi tidak menyedari atau sengaja tidak menyedari), mereka in laksana atau mungkin tepat sekali telah mensyirikkan Allah dengan diri mereka yang sampai boleh mengambil Hak Allah untuk mengkafir manusia lain.

Kita hayati rencana di bawah;

2011/01/16

PERKEMBANGAN terbaru yang menyaksikan laporan di media mahu pun di internet yang menghina agama Islam amat mengguris hati. Bahasa yang kasar, kesat dan penuh caci maki menjadi hiasan tulisan. Sudah tentu tindakan ini akan mengundang tindak balas yang serupa bahkan mungkin lebih teruk lagi.

Saya ingin mengajak pembaca untuk menilai apakah Islam membenarkan agama ini dihina? Adakah Islam juga membenarkan agama selain Islam dihina?

Dasar Islam yang pertama adalah al-Quran. Maka rujukan kepada kitab suci itu mendapati bahawa al-Quran tidak membenarkan mana-mana agama dicaci dan dihina. Wahyu al-Quran menyatakan mafhumnya: Dan janganlah kamu semua mencaci dan mencela tuhan-tuhan yang diseru selain daripada Allah. (Surah al-Anaam:108).

Sebagai Muslim, sudah tentu kita berkeyakinan bahawa Islam adalah agama yang benar. Begitulah kefahaman penganut agama lain yang masing-masing berkeyakinan juga bahawa hanya agama mereka yang benar. Keyakinan mengenai kebenaran agama sendiri adalah fitrah. Mana mungkin sesuatu diyakini kebenarannya jika diragui asasnya.


Namun, keyakinan bahawa Islam adalah benar bukan hujah dan alasan untuk menghina agama lain. Oleh itu, Islam tidak menggunakan cacian, maki hamun dan penghinaan sebagai medium untuk dakwah. Sebaliknya al-Quran menyeru agar dakwah dijalankan dengan tiga cara; hikmah (kebijaksanaan), nasihat yang baik dan dialog yang lebih baik.

Tiga kaedah ini dinyatakan dalam wahyu al-Quran mafhumnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik dan berdialog dengan mereka dengan cara yang lebih baik. (Surah an-Nahl:125).

Al-Quran menggunakan pendekatan nasihat yang baik. Apabila disebut lafaz yang baik, sudah tentu ia membawa maksud mengenai cara memberi nasihat dan lafaz yang digunakan. Apakah lafaz caci maki termasuk dalam ungkapan nasihat yang baik? Sudah tentu tidak.

Saranan al-Quran agar berdialog dengan bukan Muslim adalah dialog dengan cara lebih baik. Cara ini menuntut kaedah dialog, bahasa dan penyampaiannya dalam suasana yang baik. Oleh itu, amat sukar untuk menemui catatan silam menunjukkan Nabi SAW menghina agama lain.

Menurut catatan dalam tafsir al-Qurtubi, asalnya Nabi SAW pernah mencaci berhala sembahan masyarakat Arab Quraish. Namun tindakan Baginda mengundang reaksi yang sama iaitu cacian terhadap Allah Azzawajalla. Maka nas al-Quran ayat 108 surah al-Anaam diwahyukan sebagai perintah agar cacian terhadap agama lain mesti dihentikan. Maka itulah yang menjadi dasar Islam.

Saya yakin mungkin ramai Muslim yang akan bertindak balas dengan mewujudkan laman web, Facebook dan sebagainya dengan tujuan untuk menghina agama lain. Tindakan ini atas dasar sensitif dan sayang kepada agama, namun kita mesti berwaspada untuk menjaga agama Islam. Sesungguhnya cacian dan maki bukanlah caranya.

Apakah hasil positif akibat cacian dan memaki ini? Ia tidak membuahkan kebaikan melainkan wujud perasaan benci di kalangan bukan Muslim. Rasa benci ini mewujudkan suasana yang tidak harmoni dan tidak aman dalam masyarakat.

Masyarakat menjadi keliru, takut dengan golongan yang berbeza agama, fobia kepada Islam dan wujud tanggapan negatif iaitu Islam adalah agama yang cintakan keganasan. Masyarakat bukan Muslim semakin jauh daripada Islam.

Oleh itu, hendaklah diambil tindakan yang wajar. Satu contoh menarik berlaku kepada Nabi SAW. Satu masa, beberapa Yahudi ahli kitab datang berjumpa Nabi SAW, lantas memberi salam. Namun ungkapan salam mereka mengandungi racun.

Mereka mengucapkan salam bukan dengan lafaz as-Salam yang bermaksud sejahtera tetapi dengan lafaz as-Saam, membawa maksud celaka, laknat dan mati. Itulah ungkapan mereka apabila berjumpa Nabi SAW. Isteri Baginda, Aisyah yang menyedari ungkapan salam itu menjawab dengan lafaz yang sama.

Namun tindakan itu ditegur Nabi SAW. Isteri Baginda bertanya adakah Nabi SAW tidak mendengar ungkapan salam mereka, lalu dijawab bahawa Baginda mendengar dan sudah menjawab dengan lafaz yang baik iaitu waalaikum. Lafaz ini bermakna dan ke atas kamu semua. Alangkah indahnya akhlak Nabi SAW.

Keindahan akhlak ini adalah manifestasi daripada roh yang menjiwai al-Quran. Tindakan golongan ini mencaci Nabi SAW tidak meruntuhkan nilai akhlak mulia yang tinggi yang memang sebati dengan Baginda. Ungkapan jawapan salam Nabi SAW memberi isyarat, tidak perlu diambil tindakan tergesa-gesa hasil provokasi orang lain.

Selagi tindakan provokasi tidak menimbulkan mudarat kepada Islam dan umatnya, ia hendaklah dibiarkan, namun teguran boleh diberikan.

Tindakan tegas wajar diambil terhadap individu yang menghina agama lain. Jangan biarkan cacian dan makian itu. Penghinaan dalam bentuk tulisan, kata atau tindakan merosakkan rumah ibadat apa juga agama hendaklah ditangani dengan tegas dan bijak.

Untuk bukan Muslim, jika ada yang sudi membaca, dasar Islam adalah jelas agar mana-mana agama tidak dicaci dan dimaki. Jika ada Muslim yang mencaci agama bukan Muslim, individu itu tidaklah mewakili Islam. Ia hanya dorongan untuk mempertahankan Islam tetapi tersasar daripada Islam.

No comments:

Post a Comment