Friday, January 21, 2011

Permintaan Misbun wajar dipertimbangkan: Icuk

Berita Harian; 2011/01/20


"SAYA percaya dia (Datuk Misbun Sidek) hanya
mahu yang terbaik."

Itulah firasat diluahkan lagenda badminton Indonesia, Icuk Sugiarto mengulas kemelut peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara itu yang belum menemui jalan penyelesaian sejak berbuat demikian 31 Disember lalu.

Sehubungan itu, juara dunia 1983 itu berkata, segala permintaan Misbun perlu dipertimbangkan kerana yakin jurulatih itu hanya mahu yang terbaik untuk anak emasnya, Lee Chong Wei serta badminton Malaysia keseluruhannya.

“Mana mungkin seorang jurulatih membuat permintaan bukan-bukan dan tanpa alasan kukuh kerana akhirnya nanti dia juga akan dipersalahkan serta dipertanggungjawabkan,” katanya.


Icuk yang pernah membantu Indonesia menjuarai Piala Thomas dan memenangi Terbuka Malaysia 1984, hadir membimbing anaknya Tommy Sugiarto beraksi dalam Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil.

“Saya membimbing Tommy kerana dia mahu saya melatihnya dan dia lebih selesa dengan saya. Jadi, tidak salah sekiranya Misbun mahu anaknya (Misbun Ramdan) berlatih di bawah bimbingannya kerana dia lebih tahu bakat dan potensi anaknya itu,” katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, lagenda itu sempat memberitahu: “Sampai sekarang saya masih menghormati sama Misbun.”

Dia juga menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan Persatuan Bulu Tangkis Indonesia (PBSI) melantik jurulatih dari China, Li Mao yang pernah berkhidmat di Malaysia dan Korea Selatan melatih pemain negara itu.

“Politik dalaman PBSI perlu dihapuskan jika mahu badminton Indonesia gemilang seperti dulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment