Oleh Omar Osman; bhnews@bharian.com.my ; 2011/01/28
Pegawai berkuasa lulus permohonan ikut syarat sebelum siasatan
SUNGAI PETANI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperkenalkan prosedur baru dalam proses meluluskan permohonan bantuan daripada jabatan itu, dengan memberi kuasa kepada pegawai meluluskan permohonan yang menepati syarat terlebih dulu, sebelum disusuli siasatan mengikut kes.
Ketua Pengarahnya, Datuk Memey Zainal Rashid, berkata prosedur baru itu yang dilaksanakan mula tahun ini bertujuan mempercepatkan kelulusan permohonan mendapatkan bantuan kebajikan. Katanya, ini berikutan JKM menerima banyak rungutan mengenai kelewatan memproses permohonan mengikut prosedur lama, iaitu siasatan dilakukan terlebih dulu sebelum diberi kelulusan.
Beliau berkata, prosedur baru itu diharap dapat memudahkan pihak yang memerlukan, mendapat bantuan JKM tanpa perlu menunggu terlalu lama sehingga beberapa bulan.
“Mengikut prosedur baru, pegawai akan meluluskan terlebih dulu permohonan yang menepati syarat dan selepas itu siasatan dibuat mengikut kes. Jika siasatan mendapati pemohon melakukan penipuan, bantuan akan ditarik balik serta-merta.
"Sehubungan itu, kita nasihatkan pemohon mengisi maklumat dengan jujur bagi memudahkan urusan," katanya selepas menghadiri majlis meraikan persaraannya bersama kakitangan JKM Kedah dan Perlis di sini, malam kelmarin.
Hadir sama, Pengarah JKM Kedah, Zulkifli Ramli dan Timbalan Pengarah JKM Perlis, Ku Chik Ku Mat Isa.
Memey, 58, menyertai JKM sejak 34 tahun lalu dan memulakan perkhidmatan sebagai pegawai jabatan itu di Wilayah Persekutuan dan memilih bersara pada 1 Februari ini, iaitu lapan bulan lebih awal daripada tarikh sebenar iaitu Oktober depan.
Katanya, setiap bulan JKM di seluruh negara menerima beribu-ribu permohonan mendapatkan bantuan dan ia adalah antara punca permohonan lewat diproses.
“Sehubungan itu, kita harap melalui kaedah baru nanti, ia dapat memperbaiki sistem penyampaian jabatan berkenaan,” katanya yang berterima kasih kepada semua kakitangan jabatan itu yang menunjukkan komitmen tinggi membantu mempercepatkan proses kelulusan bantuan yang diterima daripada orang ramai.
Beliau berkata, bilangan penerima bantuan JKM meningkat dengan ketara yang mana pada 2008 jumlahnya kira-kira 200,000 orang dengan peruntukan RM650 juta dan tahun lalu meningkat kepada 400,000 orang dengan peruntukan RM1 bilion.
p/s: Risau Malaysia akan muflis nanti, kalau beri bantuan sebelum buat siasatan orang kaya yang memohon tentu akan dapat juga , tak banyak tidak sehingga siasatan dijalankan, kalau dibatalkan pun dah terlambat, sebab duit yang dah diberi tak akan dipulangkan kepada kerjaaan (SEBAB KERAJAAN TIDAK ADA AKTA UNTUK MINTA WANG DIGANTI/DIPULANGKAN SEMULA) yang dapat bantuan akan buruk-burukkan Malaysia lagi kalau bantuan dipotong atau digantung.
No comments:
Post a Comment