Sunday, January 16, 2011

Burung Jatuh dari langit: Ada teori serangan UFO?

Kosmo Ahad; 160111 


PADA malam itu, beberapa detik sebelum menjelang tahun baru 2011, beribu-ribu ekor burung blackbird jatuh bak hujan hitam di pekan kecil Beebe yang terletak di negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS).


Dianggarkan lebih 5,000 burung hitam bersayap merah jatuh dari langit dan bertaburan di atas jalan, bumbung dan halaman rumah di kawasan seluas 731 meter persegi. Di sesetengah kawasan, tanah bertukar menjadi gelap.

Penduduk setempat yang keluar untuk menikmati pancaran bunga api dan meraikan kedatangan tahun 2011, panik dengan apa yang berlaku dan bergegas memasuki kediaman masing-masing apabila haiwan bertubuh kecil itu mula jatuh di sekeliling mereka.

Ada bangkai yang jatuh mengenai seorang wanita yang sedang berjalan bersama anjingnya manakala seorang lagi terpaksa menggunakan payung untuk melindungi diri.

Seorang penduduk tempatan, Shane Roberts berkata, ia berbunyi seperti hujan batu yang sangat dahsyat di atas bumbung rumahnya.

"Apabila saya keluar, alangkah terkejutnya apabila melihat ketulan-ketulan hitam bertaburan. Apabila saya pergi lebih dekat, ia adalah bangkai burung," katanya yang menyifatkan kematian tersebut sebagai sesuatu yang aneh.

Sementara itu, Penyelia Jabatan Jalan bandar berkenaan, Milton McCullar berkata, ia seperti adegan dalam filem Alfred Hitchcock di mana semua lampu di papan suis kecemasan menyala dan semua orang berada dalam situasi yang mencemaskan.

Kiamat

"Ada penduduk yang panik dan beranggapan dunia hampir kiamat," ujar Ketua Polis tempatan, Ellie Cullum seperti dipetik Mail Online.

Kehadiran ribuan bangkai burung di kawasan kejiranan tersebut diterima sebagai misteri alam.

Namun, yang menjengkelkan penduduk setempat ialah apabila pekerja pembersih alam sekitar datang memakai sut kalis api, topi keledar dan topeng gas hanya untuk membuang bangkai burung.
DI Arkansas, ikan yang mati adalah daripada spesies
drumfish sahaja. Peliknya ikan spesies lain yang ada di sungai sama
 tidak terjejas

Belum pun reda kes burung jatuh dari langit diperkatakan, pakar pengkaji haiwan di Arkansas bertambah bingung apabila lebih 100,000 bangkai ikan drum ditemui di sepanjang 32 kilometer di tebing dan permukaan Sungai Arkansas, berhampiran Ozark yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Beebe.

Anehnya, hanya spesies ikan drum yang didapati mati sedangkan ikan spesies lain masih hidup.

Adakah kejadian aneh ini mempunyai kaitan antara satu sama lain?

Terdapat beberapa teori yang diketengahkan oleh pihak tertentu mengaitkan punca kepada misteri kematian haiwan tersebut.

Antaranya, burung terlanggar objek terbang yang tidak dikenali (UFO), hujan batu, tekanan akibat bunyi kuat bunga api dan proses teras bumi menyahmagnet.

Malah, ada juga pendapat mengatakan kejadian tersebut adalah petanda akan berlakunya kiamat pada 2012 seperti yang diramalkan oleh tamadun kuno Maya di Mexico.

Walaupun ini bukan kali pertama AS berdepan dengan kematian spesies haiwan secara misteri, namun kali ini negara Uncle Sam itu gusar dengan apa yang terjadi.

Seorang pakar dari Jabatan Perikanan dan Akuakultur Universiti Arkansas, Dr. Andrew Goodwin berkata, perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas boleh membuatkan ikan terkejut dan membunuh mereka.

"Faktor yang memberi impak kepada ikan itu ialah perubahan suhu yang ketara," katanya.

Nak tahu lebih, dapatkan dalam kosmo

No comments:

Post a Comment