12 RA 1443H; 19.10.2021
Salam Maulidur-Rosul 1443H.
Sedikit perkongsian mengenai PDK (Program/Pusat Pemulihan Dalam Komuniti)
Petugas PDK yang baru bekerja atau mereka yang baru dalam dunia PDK hari ini seharusnya bersyukur dengan keprihatinan kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengambil berat dan terus-menerus membantu PDK dari tahun 1983 hingga ke hari ini.
Antara perkara yang disediakan oleh kerajaan kepada PDK ialah upah Petugas PDK yang dipanggil secara persuratan sebagai SAGUHATI tetapi dipanggil secara bahasa pasar atau percakapan harian sebagai gaji.
Semasa bermula program PDK yang pertama pada April 1983 iaitu PDK Batu Rakit, Terengganu (dipanggil sebagai program kerana pada masa itu PDK Batu Rakit tiada bangunan khas dan tiada Jawatankuasa yg dilantik, tiada juga dicatatkan tarikh yang tepat tetapi ia bermula pada hari Sabtu, itu tidak diketahui Sabtu yang mana satu). Program tersebut dibawakan oleh WHO dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu.
Mereka yang berkhidmat dengan program tersebut adalah semuanya secara sukarela tiada apa2 imbuhan diberikan kepada mereka bahkan ada yang menggunakan sumber kewangan sendiri untuk menggerakkan program PDK tersebut.
Pada tahun 1989 satu kertas kerja telah diangkat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia oleh Tuan Syed Abdul Rahman Syed Mohamed (sekarang Dato') untuk memperkembangkan dan mewujudkan beberapa buah program PDK lagi ke seluruh negara.
Di dalam kertas kerja tersebut termasuklah mencadangkan untuk JKM memberikan imbuhan berupa saguhati kepada sukarelawan/wati yang menjalankan program PDK, iaitu RM4.50 satu jam, dengan had bayaran RM150.00 sebulan, dengan operasi PDK sekali dalam seminggu sekurang2nya 6 jam sehari.
Kertas kerja tersebut juga mencadangkan supaya diwujudkan satu jawatankuasa secara adhoc dari kalangan masyarakat setempat dan ibu bapa kepada pelatih OKU PDK (pada masa tersebut masih gunakan kanak-kanak cacat) serta sesiapa yang berminat dalam bidang kesukarelawan atau kebajikan.
Pada Mac 1993 saguhati dinaikkan ke RM350.00 sebulan dengan jumlah hari PDK beroperasi dinaikkan kepada 2 hari seminggu. Pada masa tersebut tenaga pengajar PDK dipanggil secara amnya sebagai "Cikgu PDK".
Pada Jan 1996 sekali lagi saguhati tersebut dinaikkan ke RM450.00 dan pada April 1996 digenapkan ke RM500.00 dan pencaruman ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk "Cikgu PDK" dimulakan secara mandatori. Hari PDK beroperasi juga ditingkatkan dari 2 hari kepada 3 hari seminggu kemudiannya ditingkatkan lagi kepada 3+1 (3 hari bekerja di PDK dan 1 hari lawatan ke rumah/home visit) pada Mac 2002. Pada masa tersebut juga panggilan persuratan untuk "Cikgu PDK" diperkenalkan dengan perkataan khusus iaitu 'Pekerja PDK' tetapi panggilan tidak khusus masih kekal dengan "Cikgu PDK".
Bayangkan selama 11 tahun 10 bulan saguhati Pekerja PDK tidak pernah dinilai semula sehinggalah pada 28 Feb 2008, YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi (Dato' pada masa tersebut) telah mengumumkan kenaikkan kadar upah saguhati untuk Pekerja PDK dari RM500.00 sebulan kepada RM800.00 sebulan dan jawatan Penyelia PDK diperkenalkan dengan upah RM1,200.00 sebulan.
Panggilan persuratan untuk Pekerja PDK pula diubah kepada "Petugas PDK" sementara jumlah jam bekerja harian untuk Petugas PDK ialah 6 jam sehari (contoh 8:00am - 2:00pm), manakala Penyelia PDK pula 8 jam sehari mulai 8:00am-4:00pm.
Jumlah operasi PDK juga ditambah dari 3+1 kepada 4+1, dari hari Isnin-Khamis dan lawatan ke rumah pada setiap Jumaàt (Ahad-Rabu + Khamis pada sesetengah negeri).
Dan angka tempoh 12 tahun 10 bulan diambil untuk kenaikkan kadar upah tersebut pada Januari 2021 dengan kenaikkan kadar untuk Petugas PDK kepada RM1,200.00 sebulan manakala untuk Penyelia PDK mendapat sebanyak RM1,500.00 sebulan.
Jumlah hari operasi PDK tidak berubah tetapi kenaikkan beban tugasan ditambah selaras dengan kenaikkan kadar upah. MASIH perlu diingatkan upah tersebut kekal dipanggil sebagai SAGUHATI hingga hari ini.
Jika dikaji dari sudut keperluan sara hidup, jumlah saguhati yang diterima pada tahun 1996 iaitu RM500.00 dengan jumlah yang diterima RM1,200.00 pada 2021 (dalam tempoh 25 tahun) nilai sara hidup pada tahun 1996 adalah sangat rendah dengan harga beras kelas marhaen pada tahun tersebut adalah di bawah RM10.00/10kg berbanding sekarang harga beras kelas marhaen rata2 berharga RM27.00. Sementara kos perkhidmatan pada hari ini pula telah meningkat antara 4 ke 6 kali lebih tinggi dari tahun 1996 Kita boleh pos surat dengan stem RM0.20 pada tahun 1996 berbanding sekarang perlu stem bernilai RM0.80. Kuih-muih Melayu pada tahun tersebut adalah RM0.20/sekeping (mula meningkat kepada RM0.30/sekeping pada 1998, kemudian 3 keping seringgit sekitar tahun 2002) dengan saiz yang agak besar dan memuaskan tetapi sekarang dijual pada harga RM0.60 hingga RM1.00 sekeping tetapi saiz yang semakin kecil sehingga ada yang dijual pada saiz sekali gigit sahaja. Kuih-muih Melayu telah berjaya ditingkatkan harganya dari harga kelas marhaen kepada harga kelas kayangan.
Jadi sewajarnya saguhati kepada Petugas PDK dan Penyelia PDK dikaji sekali lagi dengan seberapa segera tanpa perlu menunggu 13 tahun 10 bulan lagi untuk penambahan kenaikkan. Kajian setiap 2 tahun, 3 tahun atau 5 tahun adalah perlu supaya upah untuk Petugas PDK selaras dengan kos nilai sara hidup semasa setaraf dengan upah yang diterima oleh rakyat Malaysia yang lain. Dengan intipati perkhidmatan secara 'SUKARELA' pada tahun 1983 dahulu, sekarang telah menjadi sebagai "KERJAYA" pada hari ini kadar upah untuk Petugas PDK seharusnya setaraf atau setakuk lebih tinggi dengan kos nilai sara hidup semasa. Ia tidak akan menjadikan Petugas PDK lebih mewah atau lebih kaya tetapi ia akan menjadikan Petugas PDK lebih selesa dengan nilai kerja, tenaga, usaha, idea dan perkhidmatan serta kesungguhan kepada warga PDK di Malaysia.